Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TALENTCORP, MARA CORP JALIN KERJASAMA BANGUN MODAL INSAN KOMPETITIF

03 November 2021
  • Kerjasama melalui rangka kerja proaktif untuk Memudahcara Transisi Bakat MARA ke Pasaran Pekerjaan (School-to-Work Transition).
  • Kolaborasi akan dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif terkemuka TalentCorp dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran bakat MARA pasca pandemik COVID-19.

 

 

 

KUALA LUMPUR, 2 November 2021: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) bagi memperkukuhkan usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA.

MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid.

Sinergi antara dua agensi ini mensasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA yang terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelajar di bawah tajaan pelajaran MARA.

Di samping itu, kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan MARA bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan.

TalentCorp yang bertindak sebagai penghubung di antara MARA dan pihak berkepentingan yang terdapat dalam jaringan mereka akan menawarkan inisiatif sedia ada seperti program Nurturing Expert Talent (mynext), Structured Internship Programme (SIP), Scholarship Talent Attraction & Retention (STAR), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.

“Selari dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia untuk mengukuhkan pasaran tenaga kerja Malaysia daripada gangguan semasa dan masa hadapan, TalentCorp, melalui kerjasama ini akan bertindak sebagai fasilitator dan penyedia penyelesaian.

“Usaha ini selaras dengan objektif strategik Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mempersiap Keluarga Malaysia bangkit dalam pasca pandemik. Ini terutamanya bagi menjajarkan semula pasaran buruh untuk pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta membangunkan bakat masa hadapan,” kata Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia.

Usahasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat ini merupakan satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.

Menurut Datuk Seri Mahdzir, “Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan MARA dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang yang lebih baik ditawarkan kepada para pelajar MARA.”

TalentCorp bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada 3 penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.

Manakala MARACorp merupakan syarikat induk milik MARA yang bertanggungjawab mencipta peluang pekerjaan, mewujudkan peluang perniagaan (bisnes) dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan yang baik dan konsisten kepada MARA.

 

DIKELUARKAN OLEH TALENTCORP DAN MARA CORP
2 November 2021