PELUNCURAN GARIS PANDUAN ATURAN KERJA FLEKSIBEL (AKF)
05 December 2024
(Dari kiri) Puan Betty binti Hasan, Timbalan Ketua Pengarah JTKSM Dato' Hajah Norison bt Ramli, Timbalan Ketua Setiausaha KESUMA, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, YB Wong Shu Qi, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, En Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha KESUMA dan Puan Hajah Mahuran Saro Sariki, Naib Presiden Kanan TalentCorp.
- Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang diluncurkan pada hari ini merupakan kesinambungan kepada usaha Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkasakan pekerja dan juga membantu majikan mengoptimumkan sumber manusia dan kos pengoperasian syarikat.
- Selaras dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 [Pindaan] 2022 dibawah seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF bagi memenuhi keperluan semasa dan adaptasi teknologi, Garis Panduan ini bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan AKF kerana ia mengandungi semua elemen penting yang perlu diketahui oleh semua pihak khususnya pekerja dan juga majikan. Ini termasuklah takrifan AKF, kaedah melaksanakan AKF, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan juga tanggungjawab majikan dalam proses pelaksanaan AKF.
- Selain penghasilan garis panduan seumpama ini, KESUMA melalui kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan terus memberikan bimbingan dan tunjuk ajar berhubung pelaksanaan AKF mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasar.
- Malahan, melalui kolaborasi ini, KESUMA yakin akan dapat menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan pemahaman semua pihak berhubung kepentingan AKF dan seterusnya menjayakan usaha untuk membudayakan AKF di dalam semua lapangan dan bentuk pekerjaan.
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA menyampaikan ucapan perasmian semasa Majlis Peluncuran Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel (AKF)
- JTKSM dan TalentCorp telah mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), dan usaha ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pemain industri serta para pemegang taruh. KESUMA juga sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan daripada semua pihak yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan AKF dapat terus ditingkatkan dan memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini.
- TalentCorp secara konsisten telah menyokong majikan dalam pelaksanaan AKF sejak 2015 dengan menyediakan panduan dan maklumat yang diperlukan, selaras dengan pengumuman pindaan Akta Kerja 1955. TalentCorp turut telah mengadakan Bengkel AKF menyediakan panduan dan alatan yang diperlukan untuk membantu syarikat menyesuaikan dan melaksanakan FWA dalam organisasi mereka bagi memastikan majikan dan pekerja boleh mengadaptasi amalan AKF disyarikat mereka. Sehingga Oktober 2024, sebanyak 2,826 organisasi dan 565,210 pekerja, menunjukkan potensi transformasi AKF.
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA bersama para peserta Bengkel Aturan Kerja Fleksibel yang di adakan di M Resort Hotel, Kuala Lumpur
- Selain itu, Majlis yang telah dihadiri seramai 500 peserta daripada wakil Syarikat serta Jabatan dan Agensi Kerajaan ini juga menyertai bengkel yang telah di adakan selepas Peluncuran Garis Panduan AKF bagi memastikan mereka mendapatkan input, maklumat dan toolkit bagi membantu Syarikat melaksanakan AKF.
- KESUMA menyeru semua pihak agar terus dapat memberikan sokongan kepada pelaksanaan AKF demi membudayakan keseimbangan kehidupan bekerja dengan hidup berkeluarga atau work life balance.
- Untuk rujukan, Garis Panduan AKF turut telah dimuatnaik kedalam portal rasmi:
- KESUMA: (www.mohr.gov.my/index.php/categories/garis-panduan/garis-panduan-perlaksanaan-aturan-kerja-fleksibel-2024)
- JTKSM: (www.jtksm.mohr.gov.my/ms/penerbitan/garis-panduan)
- TalentCorp: (www.talentcorp.com.my/resources/publications/garis-panduan-aturan-kerja-fleksibel/)
DIKELUARKAN OLEH KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
5 DISEMBER 2024