Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

Malaysia Mempertingkatkan Kecekapan Perniagaan dengan Peluasan Pusat Satelit Ekspatriat Baharu di Terminal 2 KLIA

23 July 2024

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menandatangani Plak ESC KLIA Terminal 2 disaksikan oleh (dari kiri), Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, En Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp dan Dato' Ruslin Bin Jusoh, Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia.YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menandatangani Plak ESC KLIA Terminal 2 disaksikan oleh (dari kiri), Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, En Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp dan Dato' Ruslin Bin Jusoh, Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia.

KLIA, 23 Julai 2024 – Bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur dan menarik bakat berkemahiran tinggi, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) di KLIA Terminal 2.

Pembukaan ESC baharu di Terminal 2 merupakan rentetan kejayaan ESC pertama di KLIA Terminal 1, yang telah dilancarkan pada 30 November 2021.

Semasa majlis pelancaran tersebut, Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail menekankan bahawa pengoperasian ESC mencerminkan komitmen JIM, dengan kerjasama TalentCorp dan anak syarikatnya MYXpats, untuk menyelaraskan proses imigresen, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia telah menyaksikan peningkatan bilangan ekspatriat yang membuktikan bahawa Malaysia merupakan destinasi pilihan bagi syarikat multinasional dan pelabur. Trend ini dijangka memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mewujudkan lebih banyak pertumbuhan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menyerahkan Pasport kepada En Cheyne Mark John, Expatriate Profesional dari England yang akan bekerja dalam Industri Minyak dan Gas sebagai Ketua Operasi penggerudian.

ESC Terminal 1 dan Terminal 2 berfungsi untuk memudahkan pengeluaran pas dalam kadar segera selepas ketibaan Ekspatriat termasuklah Pas Pekerjaan (EP), Pas Lawatan Ikhtisas (PVP), Pas Tanggungan (DP) serta Pas Residen-Talent (RP-T). Perkhidmatan ini tersedia kepada syarikat di bawah bidang kuasa Bahagian Khidmat Ekspatriat (ESD) dan Malaysia Expatriate Service Centre (MYXpats), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

ESC Terminal 2 KLIA yang terletak secara strategik di Balai Ketibaan di Aras 2 kini mula beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari serta menawarkan sokongan yang berterusan dan berdedikasi untuk ekspatriat yang tiba dari seluruh dunia.

Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, menyatakan bahawa proses perkhidmatan imigresen yang dipertingkatkan melalui ESC kini menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan pengurusan bagi syarikat yang mempunyai keperluan ekspatriat segera, berbanding sebelum ini yang mengambil masa selama 30 hari untuk diproses.

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri bersama Ahli Dewan Perniagaan Antarabangsa serta (dari kiri duduk), Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Dato' Ruslin Bin Jusoh, Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia dan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp dengan Ahli Dewan Perniagaan Antarabangsa (Berdiri di belakang, dari kiri) JACTIM, LA CAMARA, AMCHAM, EURO-CHAM, MFICC dan MGCC.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama yang berterusan sejak 2014 antara TalentCorp dengan JIM telah membuahkan hasil yang bermanfaat, khususnya dalam menerima pakai penambahbaikan dan inovasi untuk pertumbuhan negara. Beliau juga menyatakan bahawa platform sehenti Xpats Gateway yang telah dilancarkan pada Jun 2023, telah melibatkan sebanyak 26 agensi pelulus di bawah satu bumbung dan menjadi contoh visi kerajaan untuk meningkatkan daya saing perniagaan melalui pembaharuan dan dasar yang mantap.

Sejak pembukaan ESC Terminal KLIA 1 pada November 2021 hingga 21 Julai 2024, sebanyak 22,390 pas telah dikeluarkan serta menghasilkan penjimatan yang dianggarkan lebih RM330 juta untuk perniagaan di Malaysia.

Majlis pelancaran ESC tersebut turut dihadiri oleh Dato' Ruslin bin Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, dan wakil dari dewan perniagaan antarabangsa di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari esd.imi.gov.my

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

23 Julai 2024