Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

KESUMA Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk Menarik Minat dan Meningkatkan Penyertaan Pelajar Dalam Pendidikan STEM

09 September 2024

Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang bersama Yang Berhormat, Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA), dan (dari kiri) Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, En. Mohd Khuzzan bin Abu Bakar, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YBhg. Datuk Azman bin Mohd. Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA, YB Dato’ Hj. Rashidi bin Zinol, Exco Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Hj Abdul Said bin Hussain, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, dan Ybrs. Prof. Dato' Seri Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor USM.

 

NIBONG TEBAL, 9 September 2024 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), giat melaksanakan inisiatif YES! Rock the School dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Selepas kejayaan di Kedah, Pahang, dan Johor, program ini kini diperluaskan ke Pulau Pinang melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan industri dan menyemarakkan minat pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Ia turut melengkapkan pelajar dengan wawasan serta pengetahuan semasa industri, selaras dengan visi Pulau Pinang untuk memupuk bakat sedia masa depan dalam sektor berteknologi tinggi.

Usaha ini mencerminkan komitmen KESUMA dalam membangunkan tenaga kerja masa depan dengan melibatkan sekolah dalam pembentukan bakat sedia industri. Memandangkan para pelajar ini bakal memasuki pasaran kerja, penting untuk memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang bersesuaian serta menyumbang secara berkesan dalam tenaga kerja.

  YB Steven Sim Chee Keong semasa menyampaikan ucapan beliau dalam majlis YES! Rock The School Edisi Mega Pulau Pinang 2024

Majlis perasmian program YES! Rock the School Mega Penang 2024 telah disempurnakan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Dalam majlis perasmian YES! Rock the School Mega Penang 2024, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, menekankan komitmen KESUMA dalam menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment) dengan lebih proaktif menerusi kerjasama rentas Kementerian.

"Adalah penting untuk menyelaraskan kemahiran dengan keperluan industri supaya rakyat Malaysia mendapat manfaat penuh daripada pembangunan kemahiran dan pendidikan tinggi, seterusnya mencapai kerjaya yang memenuhi aspirasi mereka," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa TalentCorp akan melancarkan inisiatif YES! Counsellors pada Januari 2025. Inisiatif dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi dan sektor swasta ini akan memberi pendedahan kepada guru kaunseling pengetahuan tentang trend industri dan teknologi terkini bagi membantu pelajar dengan lebih efektif.

Dalam fasa pertama, projek rintis ini akan melibatkan 168 guru kaunselor dari 127 sekolah menengah di Pulau Pinang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar. Mereka akan dilatih serta melayakkan mereka sebagai jurulatih utama untuk memastikan kelestarian program ini. Selepas projek rintis ini, YES! Counsellors akan diperluaskan ke seluruh negara dengan sokongan Kementerian Pendidikan.

Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang bersama Yang Berhormat, Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia bergambar bersama pelajar yang menyertai program YES! Rock The School Edisi Mega Pulau Pinang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Thomas Mathew menyatakan bahawa agensi itu akan memanfaatkan sumber dan instrumen seperti Senarai Pekerjaan Kritikal, National Skills Registry, MyNext, MyMAHIR Future Skills Talent Council mengikut sektor industri, serta Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan MyMAHIR yang akan datang untuk memaksimumkan potensi bakat tempatan dan membina tenaga kerja masa depan yang produktif.

“Program YES! Rock the School mengambil pendekatan holistik dengan menyasarkan kedua-dua pelajar sekolah serta guru kaunseling. Ini adalah untuk memastikan kami memupuk bakat secara keseluruhan sepanjang perjalanan pendidikan dan profesional mereka,” tambahnya.

Program YES! Rock the School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 merupakan program dua hari yang melibatkan lebih 550 pelajar dan 150 guru serta kaunselor dari 34 sekolah di Pulau Pinang. Ia dianjurkan oleh TalentCorp bersama rakan industrinya, untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dan membantu pelajar membuat keputusan berinformasi tentang kerjaya STEM. Inisiatif ini turut menyokong Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang, sejajar dengan NIMP 2030 serta melengkapi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut, YB Dato' Hj Rashidi Bin Zinol, Exco Perdagangan, Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang; Datuk Azman Bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA, Dato' Haji Abdul Said Bin Hussain, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang; En. Mohd. Khuzzan bin Abu Bakar, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp; Profesor Dr. Azlan Bin Amran, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat Universiti Sains Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/rts

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

9 September 2024