Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Minggu #MyDigitalWorkforce Tawar 5,000 Peluang Kerja Digital

curve
Berita Harian

Minggu #MyDigitalWorkforce Tawar 5,000 Peluang Kerja Digital

26 August 2020
Ketua Eksekutif MDEC, Surina Shukri. - Foto: NSTP/Rohanis Shukri.
Ketua Eksekutif MDEC, Surina Shukri. - Foto: NSTP/Rohanis Shukri.

 

KUALA LUMPUR: Minggu #MyDigitalWorkforce berlangsung mulai 24 hingga 28 Ogos ini dijangka menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan digital sepanjang lima hari penganjurannya secara maya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata peluang kerjaya itu akan ditawarkan oleh lebih 100 syarikat pelbagai industri termasuk DHL Motorola Solutions, AirAsia, Lenovo, TNG Digital dan DIALOG sepanjang tempoh berlangsungnya acara berkenaan.

 

"Bagi mereka yang mahu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, pelbagai webinar oleh 62 pakar industri digital turut disediakan. Mereka akan berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam subjek seperti sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan digital dan perisian serta banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Minggu #MyDigitalWorkforce dianjurkan oleh MDEC dengan kerjasama i-LEAD, Impact Malaysia dan TalentCorp Malaysia bersempena kempen #SayaDigital.

Acara itu dianjurkan selaras dengan keutamaan strategik MDEC untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital bagi menyumbang kepada ekonomi digital Malaysia.

Surina berkata, bagi meningkatkan kemahiran pula, lebih 21 rakan kongsi termasuk Sunway iLabs, Fusionex Academy dan Intel Microelectronics akan melaksanakan acara satelit membabitkan pelbagai topik seperti Tableau R Integration, Fintech dan CompTIA Security + sempena minggu #MyDigitalWorkforce.

"Acara satelit ini telah berlangsung sejak 17 Ogos dan berakhir pada 4 September ini," katanya.

Sementara itu, Surina berkata, pendigitalan pelbagai industri di Malaysia memberi peluang baru dalam memperkasakan ekonomi digital namun masih terdapat jurang antara kemahiran yang dimiliki dan kemahiran yang diperlukan untuk mengisi peluang itu.

Katanya, adalah matlamat MDEC memperkasakan rakyat dengan kemahiran digital untuk membantu mereka kekal relevan dan bersedia untuk memacu ekonomi digital Malaysia.

"Ia menandakan pelancaran rasmi Gerakan #MyDigitalWorkforce yang bertujuan menyepakati tindakan dan kerjasama antara sektor awam dan swasta, melatih semula tenaga kerja untuk pekerjaan ekonomi digital dan memudahkan pemadanan pekerjaan.

"Inisiatif yang pertama ialah Digital Skills Training Directory (DSTD) yang bertujuan untuk memberi panduan kepada warga Malaysia berkenaan kursus atau pensijilan yang boleh mereka sertai bagi melengkapkan diri untuk kerjaya dalam bidang digital," katanya.

Surina berkata, inisiatif lain yang turut dilancarkan ialah #MyDigitalWorkforce Jobs Platform iaitu platform agregator pekerjaan digital yang bertujuan memadankan peluang kerjaya digital dengan bakal pekerja yang berpotensi.

Beliau berkata, platform pekerjaan itu boleh diakses di https://mdec.my/digital-economy-initiatives/for-the-people/mydigitalwork....

"Untuk maklumat lebih lanjut dan pendaftaran sebagai peserta, sila layari mydigitalworkforceweek.my," katanya.

 

News from Berita Harian

Minggu #MyDigitalWorkforce Tawar 5,000 Peluang Kerja Digital