Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Isu Naik Pangkat Antara Halangan Wanita Kembali Bekerja

curve
FMT News

Isu Naik Pangkat Antara Halangan Wanita Kembali Bekerja

17 August 2016

TalentCorp berkata halangan lain ialah aturan kerja terhad, isu majikan berat sebelah, wanita kurang berkeyakinan dan tidak menepati jangkaan mereka.

Talent Corporation Malaysia

PETALING JAYA: Ramai wanita ingin kembali bekerja tetapi berdepan pelbagai halangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Shareen Shariza Abdul Ghani.

Beliau yang dipetik China Press berkata, antara halangan itu ialah Aturan Kerja Anjal (FWA) yang terhad, isu majikan berat sebelah, wanita kurang berkeyakinan dan tidak menepati jangkaan mereka.

“FWA boleh mengekalkan bakat sedia ada secara berkesan, namun tidak banyak syarikat di negara ini yang melaksanakan sistem asas itu, contohnya masa kerja tidak serentak,” katanya dalam satu kenyataan.

Satu tinjauan pendapat yang dijalankan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapati lebih 40% wanita pernah berdepan diskriminasi hanya kerana mereka mengandung.

Antara pengalaman mereka ialah tidak dibenarkan naik pangkat, tempoh percubaan dilanjutkan, diturunkan pangkat dan diberhentikan.

Beliau berkata, walaupun tiada statistik secukupnya untuk membuktikan ada wanita yang berdepan diskriminasi kerana mengandung, tetapi sesetengah maklum balas masyarakat menunjukkan, selain wanita mengandung, orang kelainan upaya turut berdepan layanan sama.

TalentCorp menerusi satu kajian bersama Institut Akauntan Malaysia mendapati, tiga faktor utama wanita berhenti kerja adalah bersalin, menjaga ahli keluarga dan kurang keseimbangan antara kerja dan hidup.

“Apabila sedia kembali bekerja, mereka berdepan pelbagai faktor yang menjadi penghalang, termasuk FWA terhad, menyebabkan mereka tidak mendapat keseimbangan antara keluarga dan kerja,” katanya.

Shareen Shariza berkata, bagi menghalang kehilangan pekerja wanita berkemampuan, TalentCorp akan memperkenalkan cuti bersalin 90 hari mulai tahun ini, seperti yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa iaitu 15 minggu atau 98 hari.

“Sektor awam di negara ini mula melaksanakan sistem itu pada 2011, harap lebih banyak sektor swasta akan turut serta. Ketika ini, sektor perbankan dan akautan sudah memberi 90 hari cuti bersalin kepada pekerja,” katanya.

TalentCorp dalam satu kajian pada 2015 mendapati, hanya 10% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia berhasrat meningkat atau melaksanakan program bekerja secara fleksibel.

Kajian ke atas 130 syarikat itu menunjukkan hanya segelintir syarikat terbabit melaksanakan sistem FWA mengikut piawaian antarabangsa, 11% lagi menawarkan perkhidmatan penjagaan anak pekerja, 12% menawarkan subsidi kanak-kanak, tetapi sebahagian besar memperuntukkan cuti menemani isteri bersalin kepada pekerja lelaki dan cuti peperiksaan.

 

News from FMT News

Isu Naik Pangkat Antara Halangan Wanita Kembali Bekerja