Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Inisiatif Kerajaan Lonjak FLPR - PM

curve
Berita Harian

Inisiatif Kerajaan Lonjak FLPR - PM

27 June 2016
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Malaysia mencapai kemajuan ketara sepanjang tempoh enam tahun dalam meningkatkan bilangan wanita dalam tenaga kerja dan yang berperanan membuat keputusan di sektor korporat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pencapaian itu adalah hasil beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan sumbangan wanita kepada ekonomi Malaysia dan menggalakkan keterangkuman dalam tenaga kerja.

Katanya, kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita Malaysia (FLPR) meningkat kepada 54.1 peratus pada 2015 daripada 46.8 peratus pada 2010.

Beliau berkata, walaupun angka itu kurang daripada sasaran 55 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2015, peningkatan 7.3 peratus dalam FLPR menghasilkan tambahan seramai 750,000 wanita menyertai tenaga kerja.

"Ini dianggarkan menyumbang tambahan 0.3 peratusan mata kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.

"Sebelum 2010, FLPR kekal sekitar 46 peratus bagi sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun," katanya pada sesi Dialog Wanita Dalam Tenaga Kerja anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) bersama sekumpulan wanita yang kembali bekerja di bawah Program Kembali Bekerjaya TalentCorp di sini, hari ini.

Turut hadir wakil kanan beberapa syarikat yang melaksanakan langkah untuk mengekal dan memudahcarakan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja.

Syarikat yang diwakili ialah BASF Asia-Pacific Service Centre, Kumpulan CIMB, IBM Malaysia, IHS Global (Malaysia), Intel Malaysia, PwC Malaysia, Sunway Group dan UEM Group.

Sementara itu, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 30 peratus bagi wanita yang berperanan membuat keputusan di sektor korporat menjelang tahun 2016.

Berdasarkan penyata pulangan tahunan yang dikumpul oleh Bursa Malaysia bagi semua syarikat awam tersenarai (PLC) pada 2015, wanita memegang 6.3 peratus jawatan pengurusan tertinggi di seluruh PLC.

Bagaimanapun, peratusan itu meningkat kepada 28.4 peratus bagi wanita dalam pengurusan tertinggi dalam 100 PLC teratas yang mewakili permodalan pasaran sebanyak 82 peratus.

Ini menunjukkan satu peningkatan besar daripada satu tinjauan kepelbagaian syarikat tersenarai yang dijalankan TalentCorp dan PricewaterhouseCoopers (PwC) pada tahun 2013 yang mendapati wanita memegang 24 peratus daripada jawatan pengurusan atasan.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, kurang daripada 30 peratus syarikat di Malaysia menawarkan aturan kerja fleksibel sebagai strategi untuk menarik dan mengekalkan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja.

 

News from Berita Harian

Inisiatif Kerajaan Lonjak FLPR - PM