Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

Veteran MyWIRA Memperkukuh Proses Peralihan Veteran

10 March 2025

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp dan Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), sambil disaksikan oleh YBTM KESUMA, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan YBTM Pertahanan, YB Tuan Adly Zahari untuk meningkatkan sokongan kepada veteran yang beralih ke sektor swasta.

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2025 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Veteran ATM (PERHEBAT) untuk memperkukuh laluan transisi kerjaya bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program Veteran MyWIRA.

Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Veteran MyWIRA, yang berlangsung hari ini, telah mengumpulkan lebih 150 pemegang taruh, termasuk agensi kerajaan, pemain industri, dan akademia, untuk membangunkan program kesinambungan kerjaya yang lebih tersusun. Perbincangan tersebut menumpukan kepada aspek menangani jurang kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran, dan memperluas peluang keusahawanan agar veteran mendapat pilihan kerjaya yang bermakna dan berkualiti tinggi.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), menegaskan mandat TalentCorp dalam menyokong peralihan veteran ATM ke sektor swasta dengan lebih lancar dan produktif. Dengan memanfaatkan rangkaian industri dan kepakaran TalentCorp, inisiatif ini membuka peluang yang lebih luas dengan menyelaraskan kemahiran veteran dengan keperluan pasaran, memperkukuh laluan kerjaya, dan menghubungkan mereka dengan bakal majikan.

“Peralihan daripada perkhidmatan tentera ke pekerjaan sivil adalah satu fasa yang kritikal. Program Veteran MyWIRA memastikan wira negara kita dapat menyertai tenaga kerja dengan lebih lancar. Dengan adanya sokongan daripada TalentCorp dan pihak industri, kami mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kebolehpasaran veteran dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Yang Berhormat Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad

Acara Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan JHEV turut diadakan dalam sesi libat urus ini bagi memperkukuh sokongan kepada veteran yang memasuki sektor swasta. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berstruktur, Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (RPEL), dan penglibatan industri yang lebih luas untuk membuka peluang kerjaya yang lebih besar kepada veteran.

YB Tuan Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, turut menegaskan komitmen MINDEF dalam memastikan veteran mendapat akses kepada industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Veteran mempunyai disiplin, kepimpinan, dan kepakaran teknikal yang luar biasa. Namun, ramai antara mereka menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan pengalaman ketenteraan mereka ke dalam sektor pekerjaan sivil. Dengan kerjasama erat antara MINDEF dan KESUMA, kami menyeru lebih banyak majikan untuk mengenali nilai yang dibawa oleh veteran dan memanfaatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi ini,” katanya.

Yang Berhormat Tuan Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan

Beberapa syarikat utama, termasuk Micron Memory Malaysia, Western Digital, dan Jabil, telah mengambil langkah proaktif dalam menyokong usaha Veteran MyWIRA dengan mengambil dan melatih veteran dalam sektor bernilai tinggi. Melalui MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC), TalentCorp turut melengkapkan veteran dengan kemahiran industri yang selaras dengan pembangunan ekonomi dan teknologi semasa Malaysia.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, menekankan kepentingan strategi yang menyeluruh dalam transformasi tenaga kerja:

“Dengan sokongan MyMAHIR FSTC, ia membolehkan kami untuk mempercepatkan peralihan veteran ATM ke dalam industri berpermintaan tinggi. ‘New skilling’, ‘reskilling’, ‘upskilling’, dan pemadanan pekerjaan adalah elemen penting bagi memastikan peralihan kerjaya veteran lancar dan berjaya. Kami komited untuk terus bekerjasama dengan rakan strategik kami bagi membina laluan kerjaya yang tersusun bagi memastikan veteran mendapat pekerjaan yang mampan.”

Sejak dilancarkan pada Januari 2024, program Veteran MyWIRA telah membantu veteran ATM beralih ke sektor swasta melalui kerjasama industri dan inisiatif peningkatan kemahiran. Sehingga kini, program ini telah membantu 49 veteran mendapatkan pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 serta membuka 500 peluang pekerjaan dalam sektor Elektronik & Elektrik (E&E), Logistik, dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan TalentCorp turut menyampaikan Sumbangan Ihya' MyMAHIR, berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Veteran

Dalam acara ini, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan TalentCorp turut menyampaikan Sumbangan Ihya' MyMAHIR bernilai RM30,000 kepada persatuan veteran sebagai penghargaan atas peranan penting mereka dalam menyokong peralihan kerjaya anggota ATM sebelum bersara. Selain aspek kebajikan, persatuan ini turut memainkan peranan utama dalam bengkel transisi kerjaya, memberikan sokongan terus, pandangan industri, dan bimbingan bagi memastikan veteran ATM bersedia sepenuhnya untuk alam pekerjaan selepas perkhidmatan.

Untuk makluman lanjut, sila layari  www.talentcorp.com.my/veteranmywira

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

10 Mac 2025