Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp Mengukuhkan Lagi Platform Xpats Gateway Dengan Penambahan 10 Agensi Kawal Selia Dan Agensi Pelulus

01 August 2023

Encik Thomas Mathew, Ketua Eksekutif Kumpulan TalentCorp Memberikan Taklimat kepada YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia berkenaan Platform Xpats Gateway.

 

 

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Selaras dengan usaha untuk memudahcara pemprosesan Pas Penggajian Ekpatriat bagi memperbaharui sistem pentadbiran Kerajaan ke arah lebih mesra perniagaan dan menjimatkan masa pemprosesan dalam urusan Kerajaan, satu sistem baharu Single Window Xpats Gateway telah diperkenalkan pada 15 Jun 2023.

Ia sejajar dengan pengumuman YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi sebelum ini, di mana sistem yang diuruskan sepenuhnya oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah dibangunkan dan mula beroperasi secara berperingkat dengan penglibatan 11 Agensi Kawal Selia dan Agensi Pelulus.

Bagi meninjau perkembangan terkini perluasan Xpats Gateway, satu lawatan kerja ke TalentCorp yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha KSM telah diadakan pada 31 Julai 2023. Bersempena dengan lawatan kerja tersebut, Xpats Gateway telah diperluaskan dengan penambahan penglibatan 10 lagi Agensi Kawal Selia dan Agensi Pelulus.

Pada lawatan kerja tersebut juga, beliau turut mengambil maklum usaha-usaha TalentCorp dalam aspek pengurusan kemudahan Pas Penggajian Ekspatriat seperti ini akan dapat membantu meyakinkan pelabur terkemuka untuk melabur ke dalam negara.

“Saya yakin bahawa TalentCorp boleh terus membantu industri dalam memudahcara pengurusan pengambilan ekspatriat berkemahiran tinggi untuk bekerja di Malaysia, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Negara dengan kredibilitinya ke arah pembangunan negara yang mesra perniagaan” katanya.

Antara 10 Agensi baharu yang terlibat sama dalam penggunaan Xpats Gateway bermula 31 Julai termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Radio Televisyen Malaysia, Majlis Sukan Negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, Lembaga Jururawat Malaysia, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Perbadanan Filem Nasional, Persatuan Ekuastrian Malaysia serta Persatuan Lumba Kuda Malaya.

Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp berkata, kerjasama rentas Kementerian dan Agensi ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hub bakat berkemahiran tinggi.

“Dengan sokongan dari Kementerian Sumber Manusia, kami akan terus komited dalam memastikan kelestarian ekosistem bakat dan tempat kerja terus mampan dalam memacu ekonomi negara” tambahnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Pas Penggajian Ekspatriat melalui platform Xpats Gateway, sila layari laman sesawang esd.imi.gov.my

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
1 Ogos 2023