Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

TalentCorp dan MyDIGITAL Lancar Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri bagi Memacu Kesiapsiagaan Tenaga Kerja Negara

23 May 2025

Dari kiri, Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp; YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA); YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital; dan Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL semasa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).

  • Sebuah Kerjasama Strategik untuk Menyelaras Pembangunan Bakat AI dengan Keperluan Industri Sebenar

PETALING JAYA, 23 MEI 2025 – Bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir–NAICI) telah dilancarkan sebagai sebuah inisiatif strategik negara. Ia diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bersama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) melalui MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Digital, majlis ini berperanan sebagai platform nasional bagi menyelaras pembangunan bakat AI, merangka strategi pelaksanaan, dan memacu tindakan bersepadu merentas sektor dan agensi.

Mesyuarat sulung Majlis MyMahir-NAICI yang diadakan hari ini menandakan permulaan kerjasama rentas agensi secara tersusun dalam mempertingkat kesiapsiagaan AI negara. Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan MyDIGITAL, disaksikan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, dan YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

“Persoalannya bukan sama ada AI akan menggantikan pekerjaan, tetapi sama ada kita dapat memperkasakan rakyat Malaysia untuk berkembang bersamanya,” kata YB Steven Sim Chee Keong. “Justeru, melalui MyMahir–NAICI, kita membentuk mekanisme nasional yang menyelaras kemahiran dengan strategi, teknologi dengan bakat, serta dasar dengan matlamat. Ini adalah komitmen untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja bersedia untuk bekerja, tetapi juga bersedia untuk era AI.”

YB Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan penutup beliau semasa Mesyuarat Sulung MyMahir–NAICI

YB Gobind Singh Deo turut menegaskan komitmen bersama dengan menyatakan bahawa “Inilah peranan penting kepimpinan kerajaan—membina struktur yang menghubungkan inovasi dengan pelaksanaan AI sebenar. NAIO mencipta permintaan dan menyokong pelaksanaan; TalentCorp membina penawaran bakat; dan MyMahir–NAICI melengkapkan kitaran ini dengan maklum balas berterusan untuk penambahbaikan dasar.”

Majlis MyMahir-NAICI mengikat kerjasama selama tiga tahun yang menumpukan kepada empat teras strategik: Pembangunan Bakat AI, Integrasi Industri, Penjajaran Dasar & Pembiayaan, serta Tadbir Urus Pemegang Taruh. TalentCorp akan bertindak sebagai sekretariat, manakala NAIO memastikan penyelarasan dengan hala tuju AI negara.

Inisiatif ini disokong oleh empat instrumen utama:

  • Kajian Impak MyMahir, yang mengenal pasti peranan yang terkesan, pekerjaan baharu, dan kemahiran masa hadapan;
  • Platform MyMahir.my, yang menjadikan pelaksanaan dasar kepada tindakan konkrit;
  • Pelan Tindakan G.I.A.T., yang menyelaras kerjasama antara Kerajaan, Industri, Akademia dan Penyedia Latihan;
  • Rangka Kerja Bakat AI, yang merangkumi rantaian kemahiran daripada literasi digital sehingga kepakaran AI lanjutan.

Menurut Kajian Impak AI TalentCorp yang diterbitkan November lalu, sekitar 620,000 pekerjaan atau 18% daripada sektor formal dijangka terkesan secara ketara oleh AI dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Pada masa yang sama, sebanyak 60 peranan baharu telah dikenal pasti dalam sektor AI, digital, hijau dan teknologi mendalam. Penemuan ini akan memandu pelaksanaan program rintis berdasarkan sektor oleh majlis.

Salah satu ciri utama kolaborasi ini ialah integrasi Indeks Kesiapsiagaan AI (AIRI) ke dalam platform MyMahir.my, yang membolehkan syarikat menilai kesiapsiagaan AI mereka, mengenal pasti jurang keupayaan, dan mengambil tindakan yang relevan. Program rintis juga akan diuji melalui sandbox AI dengan penyataan masalah sebenar daripada industri.

Kedua-dua Menteri KESUMA dan Menteri Digital bersama ahli-ahli Majlis MyMahir–NAICI

“Sebagai badan pemikir strategik di bawah KESUMA, peranan TalentCorp adalah untuk menghubungkan strategi tenaga kerja kebangsaan dengan pandangan dan pelaksanaan yang dipacu sektor industri,” kata Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp. “MyMahir–NAICI mencerminkan pendekatan ini—mengenal pasti keperluan bakat, menyelaras usaha peningkatan kemahiran, dan memastikan dasar modal insan Malaysia kekal tangkas, inklusif, dan relevan.”

Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation turut menambah, “Peranan NAIO adalah untuk menyelaras dasar dan strategi AI negara, membimbing inovasi beretika, dan memastikan AI diterapkan dengan tujuan, kepercayaan dan impak. NAIO akan memainkan peranan penting dalam membentuk unjuran tenaga kerja negara dan membimbing industri dalam landskap AI.”

Pelaksanaan dan hasil majlis ini akan dipantau oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan AI (AI-IMU) yang baru ditubuhkan. Unit ini akan merangkumi agensi utama, menjejak kemajuan, menyelia pelaksanaan, dan melaporkan pencapaian kepada Menteri-Menteri yang berkaitan. Ia juga akan menyokong penambahbaikan berterusan pelan tindakan sektor berdasarkan maklum balas masa nyata daripada ahli majlis.

Melalui MyMahir–NAICI, Malaysia terus memperkukuh ekosistem AI negara dengan menyelaraskan inovasi dan bakat serta menterjemah data kepada tindakan. Inisiatif ini menyokong keutamaan nasional termasuk Ekonomi MADANI, NIMP 2030, dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.mymahir.my

 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

23 Mei 2025