Opening Hours: 9:00 am to 5:00 pm (Monday - Friday)

Press Releases

curve

Majlis Pelancaran MyNext TVET Dan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MOC) Transformasi TVET Antara Kerajaan Dengan GLC Dan Syarikat Swasta Siri 4/2023 Sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani

08 December 2023

Pelancaran platform mynext TVET oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bersama YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, YBhg. Dato' Hajah Norison Ramli, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato' Seri Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, dan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp

Pelancaran platform mynext TVET oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bersama YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, YBhg. Dato' Hajah Norison Ramli, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato' Seri Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, dan Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp

 

Kuala Lumpur, 8 Disember - YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) telah melancarkan mynext TVET sebagai salah satu inisiatif komprehensif pemerkasaan program TVET negara secara berterusan. Platform atas talian yang dibangunkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memberi fokus utama kepada pembentukan sistem maklumat pengurusan bakat TVET secara bersepadu dan efisien

 

Berperanan sebagai instrumen profiling psikometrik atas talian, mynext TVET ini dibangunkan untuk menjadi pengkalan data bakat TVET di negara ini dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan bagi merangka pelan intervensi strategik berdasarkan bukti data dan analitik secara menyeluruh. Pelancaran platform mynext TVET ini amat signifikan dan bertepatan dengan agenda Kerajaan merealisasikan hasrat melahirkan tenaga mahir berasaskan TVET secara lebih agresif.

Peluasan platform mynext TalentCorp dalam ekosistem TVET negara berupaya untuk membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan TVET melalui panduan dan bimbingan laluan kerjaya yang holistik. Platform ini turut berperanan dalam membantu institusi TVET merencana dan memperkukuh penawaran program. Bagi pihak majikan pula, platform mynext TVET dapat dimanfaatkan bagi tujuan penawaran dan penempatan program latihan industri (internship) dan seterusnya mengenal pasti bakat yang yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri.
 

YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan ucapan pelancaran platform mynext TVET

 

Pelaksanaan TVET dipacu industri memerlukan sinergi kolaborasi antara industri dan penyedia TVET secara berterusan. Kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan (demand and supply) dalam membantu institusi TVET tempatan menyediakan keperluan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kepada kehendak industri.
Sehubungan itu, Kerajaan giat meneroka peluang kerjasama melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dalam usaha meningkat dan melibatkan lebih banyak pihak industri dalam pelaksanaan program TVET dan seterusnya merealisasikan transformasi program TVET negara.

 

YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama 19 Wakil Syarikat Yang memeterai Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bersama pihak Kerajaan dalam memperkasa bakat TVET

 

Dalam majlis ini, sebanyak 19 Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Antara Kerajaan Dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Swasta telah dimeterai berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama. Pemeteraian MoC berkonsepkan payung kerjasama ini menjadi penghubung yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET awam merentasi 12 buah Kementerian berkaitan TVET dalam membuka ruang kerjasama erat bersama pihak industri.

 

Dikeluarkan oleh KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA