KESUMA dan Kerajaan Selangor Bekerjasama untuk Memperkukuh Penyertaan Wanita dalam Tenaga Kerja
YAB Menteri Besar bersama YB Menteri KESUMA melawat pusat jagaan kanak-kanak (Pop Up Nanny) Kiddo Care ketika Konvesyen Wanita MyWira 2025.
SHAH ALAM, 11 Mac 2025 – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) di bawah Kerajaan Negeri Selangor, telah memeterai kerjasama strategik bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja melalui program Jelajah Wanita MyWira.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan WBS telah ditandatangani hari ini semasa Konvensyen Wanita MyWira 2025 di IDCC Shah Alam. Pemeteraian MoU tersebut telah disaksikan oleh YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, serta YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, yang menegaskan komitmen bersama mereka dalam memperluaskan peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya untuk wanita di Selangor. Turut hadir, YB Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.
Ketika berucap di hadapan 500 peserta konvensyen tersebut, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari menekankan dedikasi Kerajaan Selangor dalam memperkasa wanita melalui penyertaan ekonomi selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Kerjasama dengan KESUMA dan TalentCorp ini sangat bertepatan pada masanya yang akan memastikan wanita di Selangor, khususnya wanita dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat sokongan, kemahiran, dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju,” katanya.
YAB Dato’ Sri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor menyampaikan ucaptamanya
Jelajah Wanita MyWira akan bertindak sebagai platform asas sesi libat urus, pembangunan kemahiran, dan sokongan penyertaan tenaga kerja untuk wanita di semua peringkat. Jelajah tersebut dijadualkan bermula dari April hingga November 2025 yang akan meliputi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, menghubungkan wanita dengan peluang pekerjaan, insentif tenaga kerja, dan program kebolehpasaran pekerjaan. Program jelajah ini juga sedang disusun dan dirancang untuk diperluaskan ke Pulau Pinang, Johor, Sabah, dan Sarawak.
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, menegaskan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang gender dalam sektor pekerjaan melalui Wanita MyWira, sebuah platform untuk menyelaraskan inisiatif pemerkasaan wanita TalentCorp, termasuk Program Kembali Bekerja (CCP).
“Kita mesti memastikan wanita mempunyai peluang yang sama untuk kembali dan berjaya dalam tenaga kerja. Melalui Jelajah Wanita MyWira, KESUMA menyasarkan untuk memperkasa 1.4 juta wanita di Selangor dengan memberikan akses langsung kepada peluang pemerkasaan dan insentif pekerjaan di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Menteri KESUMA, YB Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan aluan ketika Majlis perasmian Konvensyen Wanita MyWira 2025
Bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, TalentCorp menganjurkan Konvensyen Wanita MyWira 2025, menyediakan platform untuk melengkapkan wanita dengan kemahiran, sumber, dan peluang yang diperlukan untuk kembali dan maju dalam tenaga kerja. Inisiatif ini menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 60% menjelang 2030, memastikan wanita memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, turut menegaskan komitmen TalentCorp dalam menyokong penyertaan tenaga kerja wanita dan integrasi kerjaya di bawah inisiatif Wanita MyWira.
“Dengan insentif cukai Program Kembali Bekerjaya (CCP) dan insentif pengambilan pekerja dalam Belanjawan 2024 dan 2025, manfaat ini dapat dinikmati oleh wanita dan majikan, mewujudkan tenaga kerja yang lebih inklusif dan mampan. Usaha ini turut diperkukuh oleh MyMahir Future Skills Talent Council (MyMahir FSTC) yang dipacu oleh industri,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama dengan Wanita Berdaya Selangor akan diperluaskan lagi ke peringkat akar umbi, membolehkan lebih ramai wanita kembali ke dalam pekerjaan yang bermakna dan menyumbang kepada ekonomi secara bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Faridah Samad berkata, “Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan pemeteraian MoU antara Wanita Berdaya Selangor dan TalentCorp hari ini, yang menandakan satu langkah penting dalam komitmen kami untuk memperkasa wanita dalam tenaga kerja di Selangor.”
“Melalui MoU ini, kami akan menganjurkan bengkel, latihan kemahiran, dan sesi jaringan perhubungan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keyakinan diri peserta. Selain itu, kami akan bekerjasama rapat dengan rakan industri untuk menyediakan peluang penempatan pekerjaan, memastikan wanita bukan sahaja menerima latihan, tetapi juga mendapat akses kepada laluan kerjaya yang bermakna serta berdaya saing.”
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama bersama TalentCorp ini berasaskan kepada visi bersama untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih adil dan pelbagai, serta menyeru semua pihak untuk gigih meruntuhkan halangan dan membina ekosistem yang membolehkan wanita terus berkembang dan berjaya dalam kerjaya profesional mereka.
Pertukaran Memoradum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan WBS, diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Thomas Mathew dan Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Puan Siti Faridah binti Abdul Samad.
Konvensyen Wanita MyWira turut menampilkan sesi perkongsian kerjaya, bengkel mengenai peluang kerja fleksibel, serta pandangan mengenai trend kerjaya masa depan. Sebanyak 18 pempamer, termasuk JobStreet, VA Asia, Mereka, dan Teman Malaysia, memperkenalkan peluang pekerjaan dalam kerja jarak jauh, pekerjaan gig, dan peningkatan kemahiran profesional. Selain itu, klinik resume turut disediakan untuk membantu wanita yang ingin kembali ke tenaga kerja.
Untuk maklumat lanjut, layari: www.talentcorp.com.my/wanitaMyWira
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
11 Mac 2025